Jika
hendak diceritakan perjalanan hidup, semua orang tidak terlepas dengan
perjalanan hidup masing-masing yang penuh suka duka dan berliku begitu juga
dengan wanita ini. Wanita ini dilahirkan sebagai puteri sulung dan tunggal
dalam keluarganya. Sejak dari kecil kemahuannya sudah sebati dengan kesenangan
yang sederhana. Wanita sulung dalam keluarga, harapan yang tinggi oleh kedua
ibu bapa. Wanita ini pada suatu ketika dahulu, pernah menyimpan perasaan yang
sangat cemburu jika dia mempunyai adik perempuan dan pernah memberi amaran
kepada ibunya jangan melahirkan anak perempuan. Jika dikenangkan semula, lucu
dan hanya mampu tersenyum mengingati detik kenangan waktu kecil dahulu. Wanita
ini tidak pernah kurang menerima kasih sayang daripada kedua ibu bapanya malah
setiap keperluan masih lagi dipenuhi walaupun rezeki dari ibu dan ayah tidak
terlalu besar seperti orang lain. Waktu sekolah sudah melihat rakan-rakan
mempunyai telefon bimbitnya sendiri dan basikal ke sekolah. Namun bagi wanita
ini, mengira setiap tapak ke sekolah yang hampir 10 kilometer itu sudah menjadi
rutin harian sehinggalah wanita ini masuk ke alam menengah. Meskipun masih lagi
berjalan kaki ke sekolah, namun suasana dan rutin harian di sekolah sudah
berbeza. Program-program yang dianjurkan di sekolah melibatkan suasana luar dan
jauh dari tempat kediaman. Ia merupakan satu pengalaman baru buat wanita ini.


Di alam menengah, wanita ini boleh digelarkan salah seorang tokoh kokorikulum yang agak aktif menyertai mana-mana program dianjurkan oleh sekolah mahupun kelab persatuan. Setiap bulan pasti ada menerima penghargaan di atas pentas sebagai hasil daripada minat yang mendalam terhadap aktiviti kokorikulum. Meski kurang menyerlah dalam pendidikan, namun wanita ini cuba merebut peluang yang ada dalam kokorikulum samada sukan, kebudayaan dan keagamaan. Bagi wanita ini, alam menengah merupakan perjalanan yang penuh dengan suka dan duka melalui kenangan bersama rakan dan juga guru. Berbekalkan 3A dalam SPM wanita ini mengambil langkah untuk meneruskan perjalanannya ke alam prauniversiti di mana selangkah kaki yang pastinya ke puncak menara gading. Dengan berbekalkan usaha, berkat doa dan belajar tanpa mengira waktu akhirnya wanita tersebut ada di sini. Universiti Putra Malaysia. Sebuah nama institusi pendidikan yang gah dan bukan calang-calang manusia yang boleh masuk ke mahligai ini. Alhamdulilah, berbekalkan sekerat sahaja lagi perjalanan, wanita ini akan menerima segulung ijazah untuk kedua ibu bapanya pada tahun hadapan.

No comments:
Post a Comment